Profail Sekolah

Lembaran sejarah sekolah ini bermula pada tahun 1961 apabila dibuka sebagai institusi pendidikan dengan nama Sekolah Lanjutan Kampung. Pada peringkat permulaan, sekolah ini mempunyai 50 orang pelajar lelaki dari seluruh Negeri Kedah dan Perlis yang melanjutkan pelajaran hingga Tingkatan 3. Sekolah ini menitikberatkan pelajaran vokasional dan akademik serta merupakan satu-satunya sekolah lanjutan di Kedah yang mengeluarkan pelajar terlatih bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kerja tangan dan pertukangan.

Sekolah ini merupakan sekolah berasrama dan dibuka dengan rasminya oleh DYMM Tunku Bendahara Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 29 November 1964.

Pada Januari 1965, sekolah ini telah diperkenalkan dengan sistem pendidikan baru iaitu Aliran Melayu dan Aliran Inggeris. Sekolah ini mula dikenali sebagai Sekolah Menengah Jitra (SMJ) pada Januari 1966 sehinggalah sekarang.

SMKJ terus berkembang dan beberapa pembaharuan dibuat seperti membina asrama pelajar yang mula digunakan pada tahun 1982 sehingga sekarang. SMKJ mempunyai sebuah surau, stadium mini, perpustakaan dan sebuah dewan besar untuk kemudahan pelajar di samping 9 blok bangunan yang digunakan sebagai bilik darjah.

Sejak awal penubuhan sekolah ini, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam bidang akademik dan kokurikulum serta meraih pelbagai anugerah di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan sehingga kini.

lokasi sekolah